21 Februari 2008

Sayyid Abdul Hayy Siddiq al-Ghumari

Beliau ialah al ‘Allamah al Faqih al Usuli al Muhaddith al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Hayy bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Sayyiduna Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra' binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah s.a.w. Ini merupakan juraian keturunan yang disepakati dan popular sebagaimana yang disebut oleh dua orang abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari dan Sayyid Abdullah al Ghumari. Sayyid Ahmad al Ghumari menyebut perkara ini di dalam kitab beliau yang berjudul al Tasawwur wat Tasdiq bi Akhbar Syeikh Sayyid Muhammad al Siddiq. Manakala Sayyid Abdullah al Ghumari pula menyebutnya di dalam kitab beliau yang berjudul Sabilut Taufiq dan Bida’ut Tafasir.

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Tonjah (Tangiers), Morocco. Adapun tarikh kelahiran beliau, saya tidak menemukan sumber yang menyebutnya. Latar belakang keluarga. Sayyid Abdul Hayy al Ghumari dilahirkan di kalangan keluarga al Ghumariyyah yang terkenal dengan keilmuan, ketaqwaan, kesolehan, kemuliaan dan kesucian keturunan. Ayahanda beliau Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari merupakan seorang ulama’ rabbani yang memainkan peranan penting dalam mentarbiah beliau sebagaimana adik beradik beliau yang lain. Datuk beliau sebelah ibu, Sayyid Ibnu ‘Ajibah al Hasani adalah seorang ulama’ yang tidak asing lagi di dunia Islam melalui karya-karya beliau yang masih wujud hingga ke hari ini. Abang sulung beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari merupakan tokoh hadith yang tiada tandingannya sehingga mencapai martabat al Hafiz. Abang kedua beliau, Sayyid Abdullah al Ghumari ialah seorang pakar rujuk dalam pelbagai lapangan ilmu. Adik beradik beliau, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid al Hasan, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Muhammad Zamzami adalah tokoh-tokoh muhaddithin dan muhaqqiqin.

Latar belakang pendidikan

Sebagaimana adik beradik beliau yang lain, Sayyid Abdul Hayy al Ghumari memulakan pendidikan seawal usia lima dengan menghafal al Quran dan sebahagian besar matan-matan ilmu yang lain. Pada tahun 1355 Hijrah (1937), beliau bersama adiknya Sayyid Abdul Aziz al Ghumari merantau ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di sana. Beliau menetap di Mesir selama 11 tahun. Dalam tempoh ini, beliau berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah mencari ilmu pengetahuan sehingga akhirnya beliau menjadi seorang tokoh ilmuwan sebagaimana adik beradiknya yang lain. Sayyid Abdul Hayy al Ghumari merupakan seorang pakar ilmu Usul Fiqh. Ini boleh dilihat melalui karya-karya dan kajian-kajian ilmiah yang beliau hasilkan dalam bidang ini. Beliau juga merupakan seorang muhaddith sepertimana adik beradik beliau yang lain di samping sebagai seorang yang mahir dalam perdebatan. Melalui perdebatan, beliau berusaha membetulkan fahaman-fahaman salah lagi melampau yang timbul daripada sikap taasub sebahagian pengikut mazhab-mazhab tertentu.

Kerjaya

Selesai menamatkan pengajian, beliau pulang ke Morocco. Di sana, beliau menjadi tenaga pengajar di dalam bidang Usul Fiqh di sebuah institut pengajian Islam yang terletak di Tonjah. Setelah itu, beliau dilantik menjadi pengetua institut tersebut. Apabila sistem pendidikan institut-institut pengajian di Morocco mengalami perubahan disebabkan kemasukan unsur-unsur tertentu, beliau meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap perubahan yang berlaku. Kemudiannya, beliau mengadakan majlis pengajian khusus di rumahnya yang mana beliau mengajar ilmu Usul Fiqh, Fiqh, Nahu dan Balaghah. Selain itu, beliau juga sering ke udara melalui ruangan radio Morocco di mana beliau menjawab segala pertanyaan yang timbul dari seluruh pelusuk Morocco.

Guru-guru

Antaranya:

1. Ayahanda beliau, Sayyid Muhammad bin Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani.
2. Abang-abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari dan Sayyid Abdullah al Ghumari.
3. Syeikh Abdul Rahman Qoro’ah, mufti Kerajaan Mesir.
4. Al Muhaddith al ‘Allamah Sayyid Badruddin al Hasani al Dimasyqi.
5. Al ‘Allamah Syeikh Roghib al Tobbakh al Halabi.
6. Al ‘Allamah Syeikh Khalil bin Badr al Maqdisi.
7. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsini al Misri.
8. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Wahhab bin al Sayyid bin Salim al Misri.
9. Al ‘Allamah Syeikh Muhsin Nasr al Yamani dan lain-lain lagi.

Karya-karya beliau

Sepanjang usia beliau, Sayyid Abdul Hayy telah menghasilkan sebanyak 23 buah karya yang merangkumi pelbagai bidang ilmu khususnya Usul Fiqh, Fiqh dan Hadith. Antaranya:

1. Tabyin al Madarik li Rujhan Sunniyyah Tahiyyatul Masjid Waqta Khutbah al Jumu’ah fi Mazhab Malik.
2. Thubut al Ajr bi Bayan Hukm Solatil Witr ba’ada Solatil Fajr.
3. Al Iqna’ Bi’tibar Khilaf Daud fil Ijma’.
4. Rukhos al Toharah was Solah wa Tasydidat al Fuqaha’.
5. Hukmut Tayammum fil Kitab was Sunnah.
6. Hukmul Lahm al Mustaurid min Urubba.
7. Hukmud Dukhan wa Tobah was Solah Khalfa Muta’atihima.
8. Al Ihlal bi Jawabis Sual ‘an Hukmi Aghlal.
9. Iqomatul Hujjah ‘ala Annal Aimmah al Arba’ah lam Yuhitu Bis Sunnah dan lain-lain lagi.

Pesanan beliau

Sayyid Abdul Hayy al Ghumari seringkali berpesan kepada para penuntutnya agar selalu berpegang dengan Sunnah Nabawiyyah dan tidak berpaling daripadanya walau apapun yang berlaku serta mendahulukannya daripada segala pendapat di samping berusaha menyebarkannya. Beliau berkata di dalam ijazahnya yang dianugerahkan buat para pelajarnya: Saya juga berpesan kepada beliau agar berusaha bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah supaya kembali beramal dengan al Quran dan Sunnah Nabawiyyah kerana beramal dengan keduanya (al Quran dan Sunnah) dan berusaha melaksanakan perintah dan larangan keduanya merupakan jalan kearah bantuan Allah Taala buat umat ini sebagaimana yang ditegaskan oleh-Nya menerusi Kitab-Nya…

Kewafatan

Setelah memerah usia dalam perjuangan mempertahankan al Quran dan Sunnah Nabawiyyah, akhirnya pada bulan Sya’aban tahun 1415 Hijrah (1995) Sayyid Abdul Hayy al Ghumari menyahut panggilan Ilahi. Jenazah beliau disemadikan bersebelahan pusara ayahanda dan bondanya di Madrasah Siddiqiyyah. Semoga Allah Taala merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dalam mempertahankan Sunnah Nabawiyyah dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Tidak ada komentar: